Friday, December 10, 2010

BERTAHNIK.....

Alhamdulillah semalam kami menghadiri majlis bertahnik Nur Kauthar puteri Encik Bakhtiar dan Puan Hafizah di rumahnya..........

Dapat artikel ni dari http://albaruhiyy.wordpress.com/category/artikel-ilmiyyah/

Anak adalah anugerah Allah s.w.t. yang berharga di dunia ini. Ramai kalangan pasangan yang berkahwin menanti saat berbahagia seperti ini iaitu saat kehamilan isteri dan kelahiran anaknya. Apabila si anak telah lahir, Islam menggariskan pelbagai perkara sunnah yang mana ibu bapa dituntut melakukannya. Selain daripada melakukan ibadat akikah, mencukur rambut bayi kemudian bersedekah mengeluarkan emas atau nilainya dengan kadar timbangan rambut tersebut, azan di telinga bayi, memberi nama yang baik, terdapat satu amalan yang juga disunatkan yang ingin saya kongsi bersama dalam ruangan kali ini. Amalan tersebut ialah amalan tahnik. Apakah dia tahnik? Mungkin jarang orang mengetahui maksud tahnik dan bagaimana hendak melakukan tahnik.

Dalam istilah orang kampung negeri kelahiran saya, biasanya dipanggil amalan “belah mulut”. Apa pun namanya, ia merupakan satu perkara yang sangat dituntut. Tahnik dari segi bahasa ialah lelangit di dalam mulut.(al-Marbawi, Kamus Idirs al-Marbawi : 153). Pakar bahasa menyebut maksud amalan tahnik ialah dikunyah akan buah tamar atau seumpamanya lantas digosok tamar tersebut pada lelangit mulut bayi. (al-Nawawi, Sharh sahih Muslim 1/462). Ia merupakan sunnah nabi yang perlu dilakukan oleh seseorang terhadap bayinya. Para ulama bersepakat mengatakan tahnik sunat dilakukan. Barangsiapa yang melakukannya, maka baginya pahala, sebaliknya barangsiapa yang tidak melakukannya, ia tidak berdosa. Ia seperti juga hukum akikah, ia adalah sunah bukan wajib.

Tahnik afdal dilakukan dengan buah tamar. Jika tiada tamar, boleh gunakah rutob (tamar muda). Jika tiada juga, boleh gunakan sesuatu makanan yang manis tetapi madu yang manis lebih awla daripada makanan lain. Dan jangan menggunakan makanan yang telah dimasak. Seeloknya, dibukakan sedikit mulut bayi supaya ia boleh menelan buah tamar tersebut. Tujuan tahnik mengikut ulama adalah melatih bayi untuk makan dan menguatkannya. (Ibn Hajar, Fath al-Bari 15/390).

Anas bin Malik menceritakan, aku telah membawa Abdullah bin Abi Talhah ketika beliau dilahirkan kepada Rasulullah s.a.w. ketika baginda memakai jubah (aba’ah) sambil menginaikan untanya. Lantas baginda bertanya : “Adakah kamu mempunyai buah tamar?” Aku menjawab, ya. Lalu aku menghulurkan beberapa biji buah tamar, dan Rasulullah s.a.w. memasukkan ke dalam mulutnya. Lalu baginda mengunyahnya kemudian membuka mulut baginda dan mengeluarkan semula tamar yang dikunyah dan diletakkan ke mulut bayi itu. Lantaran itu bayi tersebut menggerakkan lidahnya meghisap tamar tersebut. Kemudian baginda menyebut : “Yang disukai orang ansar ialah tamar dan namakannya dengan nama Abdullah”. (HR Muslim 3995, Lihat al-Nawawi, Sharh sahih Muslim 7/269). Hadis ini menunjukkan sunnah tahnik bayi yang baru dilahirkan dan ia adalah sunnah sebagaimana ijmak ulama. Ia juga menunjukkan afdal melakukan tahnik dengan buah tamar

Bilakah sunat dilakukan tahnik? Adakah sebaik sahaja kelahiran atau perlu menunggu hari ketujuh?. Al-Bukhari membuat satu bab khusus dalam kitab sahihnya iaitu “Bab menamakan bayi dan mengtahniknya petang kelahirannya sekalipun belum dilakukan akikah”. (Ibn Hajar, Fath al-Bari 15/390). Bermakna sekiranya bayi tersebut lahir pada pertengahan siang hari, tahnik boleh dilakukan selepas waktu tengahari pada hari kelahirannya. Ini yang dapat difahami melalui bab yang dibuat oleh al-Bukhari. Disebutkan dalam al-Majmuk, bahawa sunnah melakukan tanhik dengan tamar kepada bayi ketika dilahirkan. Maksudnya hari kelahiran (al-Nawawi, al-Majmuk 8/443). Bahkan tujuan atau hikmah tahnik sebagaimana disebut ulama ialah bertujuan untuk melatih bayi makan atau minum. Oleh itu, ia perlu disegerakan pada hari kelahirannya dan tidak perlu ditangguhkan sehingga hari ke tujuh sebagaimana yang dilakukan oleh segelintir masyarakat Melayu di sini.

Dalam negara kita, kebiasaanya orang awam suka meminta tolong para ustaz atau alim ulama melakukan tahnik kepada anaknya. Mereka mungkin menganggap ini adalah satu sunnah atau mungkin kerana mereka inginkan keberkatan ustaz tersebut. Suka saya kemukakan di sini, bahawa apa yang dilakukan oleh para sahabat dengan membawa anak mereka berjumpa Rasulullah s.a.w. dan Rasulullah melakukan tahnik kepada bayi tersebut adalah suatu perkara yang mulia. Ini kerana Rasulullah s.a.w. mempunyai keberkatan pada diri atau zat baginda. Manakala selain daripada Rasulullah s.a.w. berlaku khilaf di kalangan ulama. Pendapat yang agak kuat lebih cenderung kepada keberkatan zat hanya ada pada para nabi dan rasul alaihimussolatuwassalam.

Ya, ada nas-nas daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang juga menunjukkan bahawa wujud benda-benda yang diturunkan keberkatan oleh Allah kepadanya. Sama ada tempat, masa atau makhluk-makhluk dari kalangan manusia. Sheikh Soleh bin Abdul Aziz (Lihat al-Tamhid, hlm 125-127) menjelaskan, berkat yang dijadikan oleh Allah ada dua bahagian :
i. Berkat pada tempat atau masa. Seperti Allah Taala memberkati Baitillahilharam dan memberkati kawasan sekeliling Masjidil Aqsa. Maksud berkat di sini adalah dari segi makna dalaman, iaitu ada kebaikan yang banyak dan berkekalan di dalamnya. Dengan kata lain, keberkatannya adalah untuk tujuan beribadat padanya. Begitu juga keberkatan pada masa atau waktu. Allah memberkati bulan Ramadan dengan makna barangsiapa yang melaksanakan ibadat setulusnya dalam bulan ini, nescaya akan mencapai kebaikan dan ganjaran pahala yang berlipat ganda.
ii. Berkat pada manusia. Iaitu berkat yang dijadikan Allah pada diri orang-orang mukmin. Dimulai oleh berkat pada diri Rasulullah s.a.w. dan para nabi serta rasul-rasul alaihimussalam. Berkat mereka adalah berkat pada zat, iaitu jasad dan tubuh mereka adalah berkat. Manakala selain daripada mereka, keberkatan orang yang beriman bukan pada zat mereka. Berkat pada mereka merujuk kepada berkat amalan, keimanan, ilmu dan dakwah mereka.

Dalam masalah tahnik, seeloknya bapa atau ibu atau ahli kelaurganya yang lain seperti datuk atau nenek kepada bayi itu sendiri yang melakukan tahnik. Adapun jika seseorang ingin juga meminta para ustaz atau ulama melakukan tahnik kepada bayinya, nasihat saya janganlah sampai menganggap kerana zat air liur atau tangan ustaz tersebut boleh membawa berkat kepada anaknya. Sekalipun ada ulama yang mengatakan sunat diminta kepada orang alim atau soleh melakukan tahnik untuk anak kita (Lihat al-Nawawi, Sharh sahih Muslim 1/462), namun perkara tersebut ditolak oleh ulama lain. Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis Anas bin Malik di atas menyebut beberapa pengajaran hadis tersebut. Antaranya beliau menggariskan sunat dilakukan tahnik oleh orang soleh lelaki atau wanita dan boleh tabarruk dengan kesan-kesan orang soleh. (al-Nawawi, Sharh sahih Muslim 7/269).

Tetapi jika kita melihat hadis-hadis atau athar para sahabat, selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. tiada satu pun cerita yang diriwayatkan mengisahkan orang ramai berjumpa para sahabat besar seperti Abu Bakr, Umar, Uhtman, Ali dan lain-lain untuk meminta mereka melakukan tahnik kepada bayi-bayi yang baru dilahirkan. Ini jelas membuktikan bahawa perbuatan meminta orang-orang soleh atau alim ulama melakukan tahnik tidak dilakukan oleh para al-salaf al-soleh. Justeru, bapa atau ibu kepada bayi tersebut boleh melakukan sunnah tahnik sendiri tanpa perlu pergi mencari ustaz-ustaz untuk melakukannya.

Selain itu, perkara lain yang ingin dikongsi bersama ialah berkaitan melakukan tahnik dengan menggunakan air zam-zam. Dalam hadis-hadis, kesemuanya menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. hanya menguyah buah tamar apabila melakukan tahnik. Apakah terdapat dalil yang mengharuskan kita menggunakan air zam-zam ketika tahnik. Dalam kitab Akhbar Makkah karangan al-Fakihi, beliau membawa satu athar yang mursal daripada Ata’ bahawa Habib berkata kepada Ata’, aku perlu membawa air zam-zam? Jawab Ata’ : Ya, sesungguhnya Rasulullah s.a.w. membawa air zam-zam dalam botol lalu mengtahnikkan Hasan dan Husain dengannya menggunakan tamar ajwah. (al-Fakihi, Akhbar Makkah 3/198). Walaupun hadis ini mursal, namun ia masih disokong oleh dalil-dalil umum yang menjelaskan kewajaran mengambil berkat dengan air zam-zam, atau berubat dengannya. Maka bagi penulis, tidak menjadi kesalahan menggunakan air zam-zam untuk melakukan tahnik.

Ini adalah beberapa perkara penting yang perlu diketahui oleh orang ramai berkaitan sunnah tahnik. Mudah-mudahan sunnah yang kita lakukan dengan niat ikhlas mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah s.w.t. Amin

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...